Blog

Harga rumah, bertindaklah segera

harga rumah

AMAT mengejutkan apabila kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati harga rumah di negara ini sangat tidak mampu dimiliki atau sangat mahal berdasarkan piawaian antarabangsa iaitu 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia.

Pendedahan oleh Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Wardini Mokhzani itu sangat membimbangkan memandangkan jumlah pendapatan bulanan khususnya dalam kalangan orang Melayu tidak seiring dengan peningkatan harga rumah secara mendadak walaupun projek tersebut dibangunkan di sebuah pekan kecil.

Sebagai contoh sebuah rumah teres dua tingkat saiz 20 x 70 di Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan kini dijual dari (minimum) RM328,800 dan harga sebuah rumah teres setingkat saiz yang sama adalah dari (minimum) RM198,800.

Itu harga rumah di Batu kikir, cuba lihat pula projek-projek perumahan di sekitar bandar Seremban yang rata-ratanya rumah dua tingkat bersaiz 20 x 70 atau yang besar sedikit 22 x 80 adalah dalam lingkungan RM400,000 hingga RM700,000 iaitu bergantung kepada lokasi projek.

Dengan harga setinggi itu pemilik rumah terpaksa membayar ansuran bulanan antara RM1,800 sehingga RM2,500 selama 30 tahun. Cuba ba­yangkan berapakah baki gaji mereka setiap bulan selepas sebahagian besarnya digunakan untuk membayar ansuran rumah, dalam masa sama mereka juga terpaksa melunaskan pinjaman lain seperti kereta, pinjaman peribadi, bil-bil, nafkah keluarga dan persekolahan anak.

Sementara itu, bagi kategori rumah berkembar rata-rata harga yang ditawarkan di Seremban bermula daripada RM700,000 hingga ke jutaan ringgit dan rumah banglo pula kebanyakannya sudah melepasi harga RM1 juta hingga RM2 juta yang sememangnya sukar untuk dimiliki terutama bagi mereka yang berpendapatan sederhana.

Melihat harga rumah di Bandar Baru Bangi yang sebahagian besar penduduknya adalah dalam kalangan orang Melayu juga tidak kurang hebatnya. Peningkatan harga di lokasi ini cukup mendadak sehingga tiada rumah yang berharga RM350,000 ke bawah walaupun rumah tersebut merupakan sebuah rumah lama yang pada asalnya dibeli dalam sekitar RM60,000 sahaja.

Malah seorang rakan penulis yang tinggal di bandar itu memberitahu rumah teres dua tingkat yang didiaminya sekarang jika dinilai kini sudah melebihi RM500,000 berbanding harga asal yang dibeli sebelum ini (10 tahun lepas) cuma sekitar RM170,000.

Beliau turut memaklumkan rata-rata rumah di Bandar Baru Bangi telah mencecah jutaan ringgit terutama bagi kategori rumah berkembar dan banglo. Bagi sebuah rumah berkembar katanya, harganya dalam lingkungan RM1.7 juta yang hanya golongan berada sahaja mampu memilikinya dan jika ditinjau-tinjau berapa jumlah orang Melayu yang tergolong dalam kategori itu?

Sedangkan untuk memiliki sebuah rumah teres dua tingkat berharga melebih RM500,000 pun bukan mudah bahkan terpaksa berkongsi dengan pasangan yang bekerja bagi melayakkan pinjaman dibuat di bank-bank. Apatah lagi dengan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh institusi-institusi kewangan terhadap pemohon pinjaman perumahan sebelum kelulusan diberikan.

Bukan mudah untuk membuat pinjaman perumahan ketika ini lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu. Ada seorang rakan penulis yang berusia sekitar awal 30-an membuat permohonan pinjaman perumahan bersama-sama isterinya, seorang pegawai sebuah badan berkanun untuk memiliki sebuah rumah pertama mereka berharga kira-kira RM400,000 tetapi malangnya ditolak. Jika diperhatikan secara zahir mereka berdua tiada masalah untuk membuat permohonan tersebut tetapi masing-masing tidak pula tahu sebab-sebab permohonan itu ditolak.

Lihat pula projek perumahan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, harga yang ditawarkan bagi penulis tidak akan mampu dimiliki oleh pegawai-pegawai kerajaan apatah lagi kakitangan bawahan kerana terlalu mahal sehingga mencecah jutaan ringgit.

Rata-rata rumah yang dibina di Putrajaya harga minimum yang ditawarkan melebihi RM500,000, itu pun cuma sebuah apartment/ kondominium berkeluasan kira-kira 850 kaki persegi (kps) dan harga sebegitu sukar untuk dimiliki oleh kakitangan serta pegawai kerajaan yang berpendapatan sederhana. Hanya pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terdiri daripada Turus dan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) sahaja yang dilihat mampu memiliki hartanah seumpama itu.

Inilah realiti yang terpaksa dihadapi ekoran harga rumah terlalu mahal. Persoalannya, bagaimana keadaan seperti ini boleh berlaku?

Bercakap kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin, rata-rata pemaju yang terdiri daripada syarikat-syarikat gergasi tumpuan mereka adalah untuk mengejar keuntungan berbanding menyediakan perumahan mampu milik dan selesa kepada rakyat.

“Sedangkan kos bagi membina sebuah rumah yang dijual pada harga RM200,000 hanyalah separuh daripada itu namun para pemaju sesuka hati menaikkan harga bagi memastikan mereka mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda,” ujarnya.

Pandangan yang dilontarkan oleh Amir Hussin ini tidak harus dipandang sepi kerana kerakusan pemaju-pemaju demi mengejar keuntungan semata-mata telah menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

Menyentuh isu sama Pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ir. Datuk Dr. Muhyiddin Ramli menekankan berhubung keperluan menggubal undang-undang yang dapat mengawal harga rumah secepat mungkin supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Kata Muhyiddin, akta itu penting bagi membantu kerajaan menangani kenaikan harga rumah yang semakin melampau. Meskipun katanya, terdapat polisi yang menetapkan setiap projek perumahan perlu terdiri daripada 30 peratus kediaman kos rendah dan mampu milik namum polisi itu tidak mampu menangani isu kenaikan harga rumah kerana ia hanya berbentuk garis panduan.

“Ada pemaju yang sanggup tidak mengikut polisi walaupun terpaksa membayar penalti kerana keuntungan yang diperoleh mereka cukup tinggi,” kata Muhyiddin lagi.

Pandangan ini cukup berasas dan sesuatu perlu dilakukan terutama dalam konteks penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang kenaikan rumah melampau daripada terus berlaku.

Apa pun langkah kerajaan membina sejuta rumah mampu milik (harga RM300,000 dan ke bawah juga berdasarkan lokasi) khusus untuk golongan sasar sehingga tahun 2018 adalah amat dialu-alukan. Antara Januari 2013 hingga Jun lalu sebanyak 17.1 peratus atau 194,456 rumah mampu milik siap dibina, diikuti 15.7 peratus atau 178,922 unit rumah masih dalam pembinaan dan 30.7 peratus atau 349,631 unit rumah pelbagai kini di peringkat perancangan.

Bagi golongan berpendapatan rendah pula mereka layak memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah-rumah murah yang dibina oleh kerajaan-kerajaan negeri. Perlu juga dipastikan hanya permohonan golongan sasar dan mereka yang berkelayakan sahaja diterima berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jangan nanti golongan yang mahu membuat keuntungan diberikan pemilikan rumah seperti itu melalui pelbagai cara sama ada sah atau tidak dan jika itu yang berlaku sudah tentu amat mengecewakan.

Sekiranya isu ini tidak diambil perhatian, masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negara ini akan terus berlarutan dan paling malang sekali apabila generasi akan datang menjadi mangsa.

Tidak dapat dibayangkan berapakah harga rumah dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang dengan berdasarkan kepada harga rumah sekarang. Mungkin sebuah apartment di Seremban boleh mencecah RM700,000 hingga RM 1juta. Mungkin pada masa itu kategori rumah teres sahaja melebihi RM1 juta manakala harga sebuah rumah berkembar dan banglo tidak tergambar pula harganya. Sehubungan itu langkah memperkenalkan satu undang-undang yang mampu mengekang kenaikan rumah secara melampau adalah antara pilihan yang terbaik.

 

Utusan Online

SAIFULIZAM MOHAMAD
01 September 2015 1:11 AM

– See more at: https://m.utusan.com.my/rencana/harga-rumah-bertindaklah-segera-1.130406#sthash.RCw0LS7N.dpuf