Blog

Bahan binaan pengaruhi harga

pelan rumah perspective

Harian Metro
Sabtu, 30 November 2013

Kuala Lumpur: Rekaan kediaman tidak hanya membabitkan aspek pasaran semata-mata sebaliknya ia turut merangkumi isu kos khususnya berkaitan material yang digunakan.
Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia, Ar. Saifuddin Ahmad berkata, banyak faktor luaran mempengaruhi rekaan sesebuah kediaman dan ia tidak hanya dilihat sebagai perkara utama yang menentukan harga kediaman yang ditawarkan.
“Ada pembeli menyangka rekaan kediaman adalah perkara utama yang mempengaruhi harga dimana jika kediaman itu dihasilkan dengan rekaan moden atau lain daripada lain maka ia menjadi lebih mahal.”
“Kenyataan ini tidak boleh diguna pakai dalam semua situasi kerana jika rekaan kediaman itu nampak biasa, namun kemasan dan bahan yang digunakan mahal maka harganya menjadi lebih mahal,” katanya.
Menurutnya, antara faktor mempengaruhi rekaan dan harga kediaman adalah keluasan ruang, bahan digunakan dan jenis kediaman.
“Daripada perspektif arkitek, keluasan ruang memainkan peranan penting kerana ia akan menentukan berapa bilik yang boleh dibina atau berapa ruang keluarga yang boleh disediakan.”
“Malah, ia juga menentukan sama ada sesuatu kediaman itu boleh mempunyai halaman luar yang antara lain boleh melonjakkan harga rumah,” katanya.
Menurutnya, jenis dan rekaan luaran kediaman turut mempengaruhi harga di mana jika ia mempunyai bumbung tinggi, maka harga yang ditawarkan lebih mahal.
“Kediaman standard mempunyai ketinggian antara siling dan lantai sekitar sembilan kaki, namun jika pemaju atau pemilik kediaman mahu menambah ketinggian, ia akan menyebabkan peningkatan kos,” katanya.
Saifuddin berkata kediaman dengan kemudahan asas seperti ruang tamu, dapur, bilik tidur dan bilik air boleh ditawarkan pada harga murah, namun ia bergantung kepada kemasan yang dibuat.
“Ada kediaman jenis flat boleh ditawarkan pada harga rendah, namun ada kediaman jenis sama ditawarkan pada harga lebih tinggi.
“Ini kerana kemasan akhir yang ditawarkan kepada pengguna berbeza yang seharusnya menyebabkan harga kediaman melonjak,” katanya.